Sunday, October 7, 2012

Layani Orang Lain Dengan Bersopan-santun dan Beradab

-Layani orang lain tanpa mengira pangkat
Kita harus mendidik anak kita untuk beradab dan penuh sopan-santun, mengatakan
”Tolong”, ”Terima kasih” dan ”Tumpang lalu” tidak hanya kepada orang yang tidak kita kenali
dan kenalan, tetapi juga kepada keluarga dan teman-teman. Sopan-santun adalah umpama
minyak pelincir yang mengurangkan geseran dalam hubungan antara manusia.
Insan yang terhormat adalah orang yang beradab. Ia menekankan ungkapan marah,
penghinaan dan rasa kecewa kerana menimbang perasaan orang lain serta menghargai damai dan
harmoni dalam masyarakat.
Tentu sahaja, adakalanya orang harus membantah dan bersuara secara langsung, tetapi
bantahan tersebut dapat dilakukan dengan nada dan perilaku yang benar, tanpa harus menghina,
menjerit, menyerang secara peribadi ataupun mengancam.
Cara menunjukkan sikap hormat berbeza-beza, bergantung kepada budayanya, tetapi
kewajipan untuk bersikap hormat terhadap kepercayaan dan tradisi orang lain adalah sama. Jadi,
baik melalui jabat tangan, membongkokkan badan, mahupun pelukan, kita harus memberi salam
dengan cara yang menunjukkan sikap hormat kita, sewaktu berjumpa dan berpisah.
Jika kita tahu seseorang mungkin akan tersinggung dengan bahasa yang kasar atau jenis
gurauan tertentu, kita harus berhati-hati agar tidak mengatakan sesuatu yang boleh menyinggung
perasaan. Jika kita tahu seseorang mempunyai pola makan tertentu, atau keyakinan agama
tertentu, kita harus membantu mereka semampu kita. Dengan kata lain, dalam hidup ini kita
harus memperlakukan orang lain sebagai tamu kita dan kita harus bersikap sebagai tuan rumah
yang baik.
Kita harus mendidik anak kita untuk memperlakukan orang yang lebih tua dengan lebih
hormat daripada mereka cara mereka melayan rakan-rakan mereka. Mungkin bukan sudah
zamannya kita memanggil ”Tuan” atau ”Puan”, namun kita masih dapat berharap anak remaja
untuk menggunakan panggilan hormat, misalnya pakcik atau makcik dan memberikan tempat
duduk kepada orang yang lebih tua, wanita hamil atau orang cacat.
Kita juga harus mendidik remaja bahawa tingkah laku beradab dan sikap baik dapat
meningkatkan peluangnya untuk mencapai keinginannya. Orang umumnya akan bersifat positif
terhadap tingkah laku yang penuh hormat dan bersifat negatif terhadap sikap kasar.
Dalam memupuk sikap hormat kepada remaja, ibu bapa harus ingat bahawa sikap hormat
harus berlaku timbal-balik; jika tidak, komunikasi tidak akan berjalan lancar. Remaja sering
mengeluh bahawa dia tidak mendapatkan perlakuan atau layanan hormat dari ibu bapa atau
orang dewasa lain, dia benci diperlakukan seperti anak kecil dan tidak diperlakukan sebagai
remaja sesuai dengan usianya. Dia ingin didengarkan dan ingin pendapatnya dianggap serius.
Perlakuan yang diterima remaja sering dijadikan alasan untuk menilai tindakannya sendiri yang
tidak hormat.
Ibu bapa harus secara sedar memperlakukan anak-anaknya dengan hormat. Sebahagian
orang dewasa memperlakukan anak-anak tanpa sikap hormat, hanya kerana mereka dapat
melakukan hal itu tanpa takut dihukun. Kita harus sedar bahawa akibat daripada sifat negatif
yang kita tunjukkan, bakal diwarisi oleh generasi kita yang seterusnya.
Ibu bapa harus menghormati anak remajanya yang sedang membesar dan bakal menjadi
dewasa, menghormati minat mereka dalam muzik hinggalah kepada ideologi politik yang mereka
pegang.
Hormat-menghormati tidak mengira siapa

No comments:

Post a Comment